Sebenarnya bukan mudah untuk
seseorang melupakan perbuatan orang lain terhadap dirinya, samada perbuatan itu
baik atau buruk. Kesan yang ditinggalkan kadangkala menjejaskan kehidupan yang
mendatang, tidak kurang juga meninggalkan kesan manis yang dibawa sampai ke
akhir usia. Namun, kesan buruk yang ditinggalkan akan mencetus satu perasaan
baru, yang diistilahkan sebagai DENDAM.
Dendam, amat bahaya kepada kehidupan
manusia lain mahupun diri sendiri, kerana dendam ini tidak mengenal keturunan,
kawan, sahabat malah kaum keluarga sendiri pun menjadi mangsa dendam. Dendam
yang cuba saya kupas ini ialah dendam yang berputik ketika zaman kanak-kanak,
atau zaman persekolahan ataupun zaman tika mengenal dunia dalam ertikata
sebenar.
Sering kita dengar dengan kisah buli. Samada
buli di sekolah dan universiti, hatta di universiti sekalipun, istilah buli sentiasa
ada dalam kamus sipembuli. Di
universiti, wujud satu sistem bagi pengenalan diri pelajar junior untuk
melangkah ke alam baru kehidupan mereka iaitu minggu orientasi. Sebelum
mencecah zaman milineum, minggu orientasi ini boleh dikatakan sebagai minggu
paling sukar bagi pelajar-pelajar junior ini kerana mereka terpaksa melalui
berbagai jenis `siksaan‘. Pengalaman dari pakcik dan makcik saya ketika mereka
di universiti menceritakan ada pelajar yang dibuli oleh senior mereka dengan
mengikat badan pelakar ini kepada kipas pusing siling dan dibiarkan berpusing
dengan kelajuan minimun kerana gagal memenuhi kehendak pelajar senior, ada yang
dipaksa mencuci tandas yang tidak dipam selepas membuang air besar dengan
mencelupnya dengan tangan dan berbagai jenis perkara yang tidak masuk akal
dikenakan semata-mata untuk diterima sebagai komuniti dalam sesebuah universiti
tersebut. Dan setiap universiti, berlainan jenis cara siksaan tersebut.
Namun, perkara seperti ini jarang
meninggalkan dendam kepada yang kena buli kerana faktor kematangan juga
memainkan peranan selain merasa perkara ini tidak menjejaskan kehidupan harian
mereka. Apa pula berlaku jika kekurangan diri dijadikan mainan bibir dan diejek
serta dilaungkan kepada orang ramai? Misalnya, seorang wanita yang dilahirkan
dengan rupa yang buruk, yang dikatakan tidak ada langsung daya tarikan bagi
menarik perhatian orang. Lelaki yang seakan-akan keperempuanan, lembut dan
menambah jelek kepada wanita-wanita yang memandangnya. Bolehkah mereka yang
dilahirkan dengan kekurangan ini menerima hinaan dan ejekan berterusan pembuli
terhadap mereka?
Kesannya teruk. Amat teruk hingga
menghilangkan keyakinan dalam diri mereka untuk menempuh hari-hari seterusnya.
Paling teruk, wanita yang diejek buruk itu akan beranggapan yang diri mereka
tidak layak untuk berkahwin dan melahirkan anak kerana dikhuatiri zuriat mereka
akan buruk seperti mereka. Manakalan lelaki pula hilang jati diri untuk
membuktikan kelakian mereka kerana masih fobia akan penghinaan yang mereka
terima selama ini.
Saya pernah membaca satu kisah yang
diambil dari pengalaman penulis novel jenayah yang dahulunya adalah bekas pegawai khas FBI di
Amerika, menulis tentang kisah-kisah yang pernah ditanganinya. Antaranya ialah pengalamannya berdepan dengan
pembunuh bersiri yang pernah menjadi mangsa buli tetapi bukan pembunuh tersebut
yang menjadi mangsa tetapi isterinya! Sejak di sekolah tinggi, isterinya sering
menjadi mangsa buli ekstrem sekumpulan pelajar di sekolahnya. Sehinggakan dia
dan isterinya terpaksa menukar identiti dengan membuat pembedahan plastik pada
wajah mereka. Walaubagaimanapun, mereka tetap menyedari bahawa walaupun wajah
ditukar namun genetik tetap tidak berubah. Dan si isteri tetap merasakan bahawa
zuriatnya akan menjadi sepertinya dan akan menjadi mangsa buli sepertimananya.
Sehinggalah mereka kembali ke daerah yang pernah menjadi sejarah hitam kepada
mereka, situasi tetap tidak berubah dan akhirnya isterinya bertekad menamatkan
riwayat hidupnya sendiri dengan menelan pil tidur berlebihan.
Bermula dari situlah, rentetan peristiwa
pembunuhan bersiri mula berlaku pada bekas pelajar-pelajar yang pernah terlibat
dengan kumpulan samseng dan pembuli di sekolah tinggi tersebut. Akhirnya
pembunuh itu dapat ditumpaskan yang merupakan suami kepada isterinya yang
menjadi mangsa buli tegar dan suaminya yang juga merupakan bekas pelajar di
sekolah tinggi tersebut.
Pelbagai lagi kisah dendam yang tidak
berkesudahan yang diterima oleh pembuli atas perkara buruk yang pernah mereka
lakukan dulu. Kita jangan fikir bahawa mangsa buli dapat menerima perlakuan
mereka dan hidup seperti biasa tanpa menyimpan sedikit pun perasaan tidak puas
hati, kerana hati adalah hak individu, tidak boleh ditentukan oleh orang lain. Kita
mesti menerima impak dari perbuatan kita jika kita pernah menghancurkan hak
kehidupan individu yang terpaksa menerima kesan buruk dariperlakuan kita.
Adalah menjadi tanggungjawab kita juga
untuk mengelakkan kejadian buli dari terus berlaku, baik di peringkat sekolah
hinggalah di tempat kerja malahan hingga ke kehidupan seharian kita, dengan
memerhatikan tingkah laku anak-anak kita, keluarga dan sahabat handai kita agar
mereka tidak terjebar dari melakukan perkara-perkara buruk dan keji dari segi
agama dan akhlak. Agama kita sendiri amat mengeji kita berbuat jahat, memalukan
dan menghina orang lain walaupun berlainan kepercayaan dan agama.
Elakkan diri dari menjadi mangsa buli dan
jauhkan diri dari membuli!