Friday, 16 November 2012

BULI BULI BULI BALIK


Sebenarnya bukan mudah untuk seseorang melupakan perbuatan orang lain terhadap dirinya, samada perbuatan itu baik atau buruk. Kesan yang ditinggalkan kadangkala menjejaskan kehidupan yang mendatang, tidak kurang juga meninggalkan kesan manis yang dibawa sampai ke akhir usia. Namun, kesan buruk yang ditinggalkan akan mencetus satu perasaan baru, yang diistilahkan sebagai DENDAM.

Dendam, amat bahaya kepada kehidupan manusia lain mahupun diri sendiri, kerana dendam ini tidak mengenal keturunan, kawan, sahabat malah kaum keluarga sendiri pun menjadi mangsa dendam. Dendam yang cuba saya kupas ini ialah dendam yang berputik ketika zaman kanak-kanak, atau zaman persekolahan ataupun zaman tika mengenal dunia dalam ertikata sebenar. 

Sering kita dengar dengan kisah buli. Samada buli di sekolah dan universiti, hatta di universiti sekalipun, istilah buli sentiasa ada dalam kamus sipembuli.  Di universiti, wujud satu sistem bagi pengenalan diri pelajar junior untuk melangkah ke alam baru kehidupan mereka iaitu minggu orientasi. Sebelum mencecah zaman milineum, minggu orientasi ini boleh dikatakan sebagai minggu paling sukar bagi pelajar-pelajar junior ini kerana mereka terpaksa melalui berbagai jenis `siksaan‘. Pengalaman dari pakcik dan makcik saya ketika mereka di universiti menceritakan ada pelajar yang dibuli oleh senior mereka dengan mengikat badan pelakar ini kepada kipas pusing siling dan dibiarkan berpusing dengan kelajuan minimun kerana gagal memenuhi kehendak pelajar senior, ada yang dipaksa mencuci tandas yang tidak dipam selepas membuang air besar dengan mencelupnya dengan tangan dan berbagai jenis perkara yang tidak masuk akal dikenakan semata-mata untuk diterima sebagai komuniti dalam sesebuah universiti tersebut. Dan setiap universiti, berlainan jenis cara siksaan tersebut.

Namun, perkara seperti ini jarang meninggalkan dendam kepada yang kena buli kerana faktor kematangan juga memainkan peranan selain merasa perkara ini tidak menjejaskan kehidupan harian mereka. Apa pula berlaku jika kekurangan diri dijadikan mainan bibir dan diejek serta dilaungkan kepada orang ramai? Misalnya, seorang wanita yang dilahirkan dengan rupa yang buruk, yang dikatakan tidak ada langsung daya tarikan bagi menarik perhatian orang. Lelaki yang seakan-akan keperempuanan, lembut dan menambah jelek kepada wanita-wanita yang memandangnya. Bolehkah mereka yang dilahirkan dengan kekurangan ini menerima hinaan dan ejekan berterusan pembuli terhadap mereka?

Kesannya teruk. Amat teruk hingga menghilangkan keyakinan dalam diri mereka untuk menempuh hari-hari seterusnya. Paling teruk, wanita yang diejek buruk itu akan beranggapan yang diri mereka tidak layak untuk berkahwin dan melahirkan anak kerana dikhuatiri zuriat mereka akan buruk seperti mereka. Manakalan lelaki pula hilang jati diri untuk membuktikan kelakian mereka kerana masih fobia akan penghinaan yang mereka terima selama ini.

Saya pernah membaca satu kisah yang diambil dari pengalaman penulis novel jenayah yang  dahulunya adalah bekas pegawai khas FBI di Amerika, menulis tentang kisah-kisah yang pernah ditanganinya.  Antaranya ialah pengalamannya berdepan dengan pembunuh bersiri yang pernah menjadi mangsa buli tetapi bukan pembunuh tersebut yang menjadi mangsa tetapi isterinya! Sejak di sekolah tinggi, isterinya sering menjadi mangsa buli ekstrem sekumpulan pelajar di sekolahnya. Sehinggakan dia dan isterinya terpaksa menukar identiti dengan membuat pembedahan plastik pada wajah mereka. Walaubagaimanapun, mereka tetap menyedari bahawa walaupun wajah ditukar namun genetik tetap tidak berubah. Dan si isteri tetap merasakan bahawa zuriatnya akan menjadi sepertinya dan akan menjadi mangsa buli sepertimananya. Sehinggalah mereka kembali ke daerah yang pernah menjadi sejarah hitam kepada mereka, situasi tetap tidak berubah dan akhirnya isterinya bertekad menamatkan riwayat hidupnya sendiri dengan menelan pil tidur berlebihan.

Bermula dari situlah, rentetan peristiwa pembunuhan bersiri mula berlaku pada bekas pelajar-pelajar yang pernah terlibat dengan kumpulan samseng dan pembuli di sekolah tinggi tersebut. Akhirnya pembunuh itu dapat ditumpaskan yang merupakan suami kepada isterinya yang menjadi mangsa buli tegar dan suaminya yang juga merupakan bekas pelajar di sekolah tinggi tersebut.

Pelbagai lagi kisah dendam yang tidak berkesudahan yang diterima oleh pembuli atas perkara buruk yang pernah mereka lakukan dulu. Kita jangan fikir bahawa mangsa buli dapat menerima perlakuan mereka dan hidup seperti biasa tanpa menyimpan sedikit pun perasaan tidak puas hati, kerana hati adalah hak individu, tidak boleh ditentukan oleh orang lain. Kita mesti menerima impak dari perbuatan kita jika kita pernah menghancurkan hak kehidupan individu yang terpaksa menerima kesan buruk dariperlakuan kita.

Adalah menjadi tanggungjawab kita juga untuk mengelakkan kejadian buli dari terus berlaku, baik di peringkat sekolah hinggalah di tempat kerja malahan hingga ke kehidupan seharian kita, dengan memerhatikan tingkah laku anak-anak kita, keluarga dan sahabat handai kita agar mereka tidak terjebar dari melakukan perkara-perkara buruk dan keji dari segi agama dan akhlak. Agama kita sendiri amat mengeji kita berbuat jahat, memalukan dan menghina orang lain walaupun berlainan kepercayaan dan agama.

Elakkan diri dari menjadi mangsa buli dan jauhkan diri dari membuli!

No comments:

Post a Comment